Cetusan rasa

Epik Iliad oleh Homer

Semasa kecil aku memang minat pada sejarah dan kini minatku pada sejarah berulang dengan adanya filem Troy. Aku tertarik kepada Perang Trojan antara Greek dengan negara Troy kerana mengapa mereka begitu bodoh boleh menerima hadiah pemberian- sebuah kuda kayu. Di dalam kuda kayu itulah tersoroknya tentera Greek yang dapat meruntuhkan kota purba Troy.

Kemudian ada filem tentang patung kuda dalam Perang Trojan ini. Lebih menarik lagi kerana jenama sebuah serbuk pencuci menggunakan topi tentera Troy. Topi ini berjambul dan berambu-rambu di belakang eperti bulu belakang kuda.

Sesungguhnya zaman kanak-kanak aku impikan topi sedemikian, walapun ada di bazar Teluk Intan, mana mungkin aku membelinya.

Di USM dalam kuliah sastera oleh Profesor Mohd Khalid Taib, ada dibincangkan tentang karya-karya sastera agung di dunia. Mulanya aku memahami tentera karya sastera sejarah bernama Iliad oleh Homer dan ada kesempatan membelek-belek karya tersebut di perpustakaan USM. Tapi aku tidak meminjamnya kerana tidak ada masa untuk mentelaahnya.

Hero filem Troy ini rupanya bernama Achilles dan serasa macam ada pernah dengar dalam kuliah sastera sejarah. Istilah atau nama yang muncul kembali ialah Agamemnon, Yunani, Greek, Troy, tuhan Apollo, Laut Angean , Sparta dan lain-lain.

Filem dimulai dengan kehebatan Archilles mengalahkan panglima tentera negara Sparta.
Memang ketika itu seseorang panglima memang berbadan sas laksana Hercules . Ingat lagi kehebatan Hang Tuah menewaskan Taming Sari dan menewaskan Semerluki dalam novel Hang Tuah. Kekuatan fizikal dengan bantuan kehebatan mental membolehkan panglima / laksamana menewaskan tentera musuh. Ingat lagi bagaimana Badang menewaskan negara rencana Benua Keling untuk mengalahkan Temasik. Dia telah berjaya menewaskan panglima Benua Keling hanya dengan bertindih peha dan menambat sauh kapal.

Wanita memang lemah tapi boleh meruntun jiwa dan negara bleh berperang kerana seorang wanita yang dikatakan jelita. Wanita adalah lambang kehebatan seseorang lelaki. Sultan Mansur sanggup mengerahkan rakyatnya membina jambatan emas dan perak dari Melaka ke Gunung Ledang demi seorang puteri bunian.

Di sinilah cerita perang antara Greek dan Troy bermula. Adik Hector telah melarikan isteri pemimpin Greek iaitu Agamemnon. Tentulah raja ini marah dan sebagai pemimpin dunia, armada kapal dkerahkan ke Troy melalui Laut Angean, berdekatan dengan Turki sekarang.

Aku suka watak Hector iaitu panglima Troy. Dia membawa watak abang yang sungguh berkesan dan menyayangi adiknya. Dalam hal ini terserlah peranan orang muda untuk pergi berperang. Pemimpin tua tinggal di istana untu membuat keputusan.

Lihat sahaja kekecewaan Archilles apabila orang lain yang menerima anugerah dan pujian sedangkan Archilles lah yang bermati-matian dalam perang.

Archilles memiliki kepandaian dan kemahiran strategi perang. Bukan semua perang disertainya. Dia hanya berperang hanya ketika ada masa yang sesuai. Dia menawarkan nyawa untuk bertempur secara membabi but sahaja.


Teknik perang Sun Tzu iaitu pakar perang dari China amat penting dalam hal ini.

Archilles inginkan namanya kekal 1000 tahun dan memang kita mengingatinya lagi. Perang Trojan ini berlaku pada 1200 SM dan ditulis oleh Homer 500 tahun kemudian ( 750 sm ). Aku heran bagaimana novel ini ditulis dan bagaimana rupa artifak tersebut.

Ironi perang ini ialah panglima tentera bertempur dengan panglima tentera secara satu lawan satu. Ingat lagi dalam sejarah Islam , saiyidina Ali bertempur dengan musuh negara kota Madinah. Cara Ali dan Archiles adalah lebih kurang sama. Ali pernah terkena panah di betisnya dana panah itu dicabut ketika Ali sedang sembahyang. Maknanya Ali cukup kusyuk sembahyang hingga tak sedar panah dicabut.


Alangkah baiknya jika Bush bertempur dengan Saddam. Rumsfelt bertempur dengan Osama. Rakyat tidak perlu dikorbankan. Cukup hanya perang sesama pemimpin. Tapi bak kata peribahasa, gajah sama gajah bergaduh, pelanduk mati di tengah-tengah.

Kuda Trojan yang dibina dalam filem ini tidaklah sama dengan filem yang sudah. Peranan kuda Trojan ini tidak diwar-warkan sangat. Tapi kehebatan kuil Apollo dan kota Troy memang hebat. Ia laksana sebuah Great Wall yang dibina di negara China. Inilah yang dikatakan negara kota. Kekuatan sesebuah negara diukur pada berapa tinggi, besar dan tebal sesebuah kota kitu dibina. Lihat sahaja tamadun Mahenjo Daro - Harrapa dan kota Babylon di Sungai Tigris / Euprates. Atau lihat kehebatan Puteri Saba di Yaman dengan kotanya.

Aku terasa sekali apabila raja Troy menemui Archilles secara rahsia bagi menuntut kembali puteranya Hector yang telah terkorban . Hector mahu dikebumikan secara terhormat di dalam kota Troy. Inilah juga salah satu punca kota Troy dapat ditewaskan.

Kalau kekuatan negara Troy bergantung kepada kota hebat Troy atau panglima terbilang Hector , apa yang Malaysia ada.

Kalau roboh kota Melaka, papan di Jawa hamba dirikan. Benarkah begitu. Bolehkah kita mengharapkan Indonesia membantu Malaysia atau masih mahu menganyang Malaysia sebagaimana Sukarno- Dr Subandrio dulu.


Walau apapun, sejarah itu perlu ditulis. Aku cukup jealous dengan orang putih yang rajin menulis dan ada sahaja penerbit yang mahu menerbitkannya . Karya itu walaupun tidak penting pada masa ini, tempat dan kala ini, tapi ia akan menjadi penting kemudian hari. Orang Melayu tidak ada sejarah negara, malah sejarah keluarga sendiri tidak ada . Dairi pun tidak ada. Ramai yang sudah jadi cerdik pandai, tapi enggan menulis. Mungkin adanya sekatan ISA, OSA dan lain-lain. Tapi pemimpin kata jangan salahkan undang-undang. Fikirkanlah.

Hebatnya The Day of Tomorrow

Filem ini memang hebat , penuh dengan kesan effect yang menyegarkan. Gambaran bagaimana benua Antartika merekah akibat daripada kerja-kerja menggerudi oleh ahli kajibumi di sana. Ini adalah sebahagian daripada sebab mengapa berlakunya perubahan cuaca bumi secara tiba-tiba dan mendadak terus kepada Zaman Ais. Sungguh ironi sekali.

Profesor Jack yang pakar dalam sejarah cuaca telah dapat meramalkan perkara ini berlaku tapi bukan dalam masa yang terdekat. Seperti biasa mereka cuba memaklumkan kepada presiden di rumah putih tetapi tidak mendapat perhatian dan tindakan yang sewajarnya dan akhirnya sudah terlambat untuk memindahkan seluruh penduduk Amerika Utara ke hemisfera selatan.

Selalunya Mexico digambarkan tempat pelarian, penduduk Mexico dan negara membangun lain cuba berhijrah ke Amerika Syarikat untuk mendapatkan pekerjaan, tapi kini sebaliknya, kerajaan Amerika Syarikat merayu-rayu agar pintu sempadan Mexico kepada rakyat Amerika.

Kita dapat melihat pergerakan dan isyarat haiwan yang lebih sensitif terhadap perubahan cuaca. Semua burung-burung daripada Amerika Utara berhijrah ke selatan dalam jumlah yang amat besar kerana suhu jatuh mendadah sebanyak 13 darjah celcius dalam beberapa jam sahaja.

Bayangkan pulau Manhantan di New York di landa banjir besar bagaikan banjir Nabi Noh. Semua orang tidak menyangka rempuhan banjir daripada benua ais di benua Artik akan merempuh New York ,Washinton dan khususnya Statue of Liberty. Kala ini terasa padan dengan muka Amerika yang menjajah dan menguasai orang timur khususnya di Iraq dan cuba mempermainkan kuasa Allah.

Sam, anak kepada Profesor Jack terperangkap di sebuah perpustakaan besar di New York. Perpustakaan ini bolehlah dikatakan selamat kerana bangunannya tidak begitu tinggi, dilindungi bangunan-bangunan lain yang tinggi-tinggi. Banjir tersebut menenggelamkan bandar sehingga mencecah bangunan tiga tingkat.

Pelbagai perubahan besar terhadap cuaca berlaku. Ketika ini digambarkan puting beliung, ribut taufan berlaku bagaikan gambaran hari kiamat. Akhirnya suhu jatuh dengan mendadak dan semua air banjir tadi beku dalam tempoh kira-kira 3 hari sahaja.

Sam berjaya menghubungi bapanya di Los Anggeles ( Phila delphia ? ) dan memberikan panduan dan arahan untuk menyelamatkan diri. Di sinilah kesan emosi yang cukup jelas betapa pengorbanan seorang bapa yang sungguhpun sibuk dengan kerja tetapi sanggup mengambil risiko menempuh salji beku ke Manhattan menyelamatkan anaknya.

Ketika banjir kelihatan beberapa kapal tangki minyak dan lain-lain hanyut di tengah bandar dan melalui perpustakaan di mana Sam berada. Peralatan dalam kapal tersebut kemudian digunakan untuk menyambung hayat mereka.

Bible cetakan Guttenberg daripada Jerman adalah antara bahan bakar untuk menyelamatkan mereka. Walaupun buku-buku terkenal dan bersejarah seperti karya Niechie ? tetapi demi survival, ia menjadi bahan bakar.

Teringat aku ketika membelek buku dalam Pesta Buku Kuala Lumpur pada 29 Mei 2004 di PWTC, buku-buku lama tentang Malaysia dibawa keluar daripada Amerika Syarikat dan dijual dengan harga lebih RM300.00. Padahal buku-buku ini ada cop perpustakaan tertentu di Amerika . Ini bermakna buku-buku antik tersebut telah diseludup keluar/ dicuri dan di bawa keluar dan di bawa ke Malaysia.

Sesungguhnya kesan khas yang ingin aku saksikan dalam filem ini tercapai. Memang menakjubkan .

Sebelum ini aku juga telah melihat filem Troy yang juga cukup hebat.


Kasihku Nirmala

Kasihku Nirmala
pergi jauh menyeberang laut dan selat
bersilang kaki di atas bot yang padat
menyeringai gigi girang nan tekad
penuh harapan bergantung erat
Bekerja di sebuah rumah keparat

Kasihku Nirmala
Bukan mudah memulakan kerja
Bukan mudah menyental lantai
Bukan mudah membasuh segala
Bukan mudah mencari kerja
Tapi kerna jiwa tersiksa lara
Kau tekun kerja dengan penuh jiwa

Kasihku Nirmala
Sembilan bulan kau ke mari
Mencari sesuap rezeki di bumi ini
Janji-janji manis termeteri
Tak terperi , terbalik bumi

Kasihku Nirmala
Kerja di sebuah kondo
Dunia orang kaya jiwa, konon
Dunia orang atasan
Dunia orang bangsawan
Dunia orang hartawan

Kasihku Nirmala
Entah kenapa majikanmu menggila
Cawan pecah seterika panas hinggap di dada
Tak cukup di belakang, dicop di peha
Tak cukup di muka , dicop di buah dada
Anak nangis besi panas ke badan
Lantai kotor air panas dicurahkan
Bahasa lucah ludah bertingkah
Penyangkut baju
Cawan besi
dan entah apa lagi
hinggap di pipi
berdarah gusi
berdarah gigi
bercalar kaki
terbakar buntut
tercabut puting

Nirmala kusayang
Maafkan aku kerna tidak tersangka aku
Maafkan aku kerna tidak upaya aku
Maafkan aku kerna tidak prihatinya aku

Nirmala
Sesungguhnya kau Nirmala yang entah ke berapa
Nirmala punya cerita
akan tenggelam tidak berapa lama

Selamat tinggal Nirmala
Kerna kau lagi tidak seindah dulu



:?

Masih adakah seorang guru di hatiku

Masihkah ada sorang guru di hatiku
Setelah mereka memperlakukan aku
Setelah sekian lama mereka mengihilang
Setelah mereka melukai hatiku
Setelah kata nista kepada diriku yang lemah ini

Aku masih tercari-cari seorang guru
yang betul-betul sayang padaku
Aku masih teringat-ingat siapa seorang guru
yang mengajar aku dengan betul
aku masih terkenang-kenang manakah guru itu
yang mengajar aku dengan psikologi
aku masih tertanya-tanya manakah guru itu
yang mengajar aku dengan penuh santun

Pada 16 Mei ini
Sebenarnya aku masih mencari
kesalahan-kesalahan guru-guruku
aku masih mengenang rotan
yang menghinggap punggungku
aku teringat cubitan di perutku
aku masih-masih

Sesungguhnya alam persekolahan
amat mengasyikkan
penuh kenangan

Padamu guru
masihkah ada kenanganmu padaku
Anak muridmu yang kau cubit
anak muridmu yang kau rotan dulu
Telah menjadi seorang guru
dan memperlakukan muridku
seperti mana kau memperlakukan aku dulu

Selamat hari guru.

:wink:

Sesungguhnya besok hari Sabtu

Memang besok Sabtu akan datang
Bagaimana aku akan menyambutnya
Aku sungguh tidak tahu
Kalau boleh Sabtu yang datang besok
Bukan sabtu yang biasa
Aku mahu Sabtu yang lain
yang benar-benar lain
Betul-betul lain
tidak macam selalu

Sesungguhnya aku jelak dengan hari Sabtu
Bagiku Sabtu yang kuterima tidak tulen
Sabtu yang kujengah bukan asli lagi
Sabtu yang bukan Sabtu
Sabtu yang hanya pada nama
Sabtu yang palsu.

Aku ingin kembalikan Sabtuku
Sabtuku adalah sabtu yang bebas
Sabtu itu bebas
Sabtu beerti bebas dari kerja
Kerja adalah satu kongkongan
Kerja adalah penjara
dan aku amat ingin Sabtuku kembali

Datanglah Sabtuku

Maafkan lagi daku ibu

Ibu
kau permata hatiku
besarku dimatamu
pantang nyamuk hinggap
pantang lalat berlegar
pantang semut melata
demi anakmu anak tercinta

Ibu
bila ku menangis kau memujuk
bila ku jatuh kau menyambut
bila ku kecewa kau berduka
sedihku pilulah ibu

Ibu
marahmu bermakna sayangmu
cubitmu bermakna bimbangmu
tapi
kau jadi musuhku
kau tiada hak mendendaku
kau melanggar akta hak asasi dunia
ibu makin pilu ibu makin sayu

Ibu
pejam celik pejam celik besarlah diriku
pejam celik pejam celik lupalah daku
pejam celik pejam celik semakin tak cerdik
aku lupa
aku alpa
aku gila
gila harta
gila wanita
gila kuasa
gila segala
ibuku entah ke mana

ibu
maafkan daku
maafku indah di bibir cuma
maafku bukan dari hati nurani
tapi untuk ke sekian kali
maafkan daku ibu

Biarkan saja ia berlalu

Aku kembali ke blog ini untuk ke sekian kali setelah lama menghilang. Mungkin aku punya banyak masa tapi aku tetap kesepian , keseorangan dan keterbiaran.

Hah biarlah

Biar saja dia pergi
Biar saja dia kembali
Kepulangan dan pemergian
masih tetap seperti mana semalam

Biar saja aku di sini'
Mengetuk hati dari hati ke pintu hati
Biar hancur luluh
reput, rapuh, luluh dan runtuh
lalu luluh seluluhnya

Biar saja aku menguak
Biar saja aku mengaum dan mengomel
Sesunggunya aku mengaum bukan harimau
Sesungguhnya aku menguak bukan kerbau
Sesungguhnya aku mengomel bukan kucing comel
Tapi itulah aku
Aku yang terbiar

Biar aku di sini
mengetuk dan mengutuk
maafkan aku kerana aku membiarkanmu
kerana aku sudah tawar dan
inilah aku.