Cetusan rasa

Abaikan saja source code dedulu .

Aku dah lama terkenan dan berkenan dengan Asymetrix Toolbook . Program ini macam Authorware, Powerpoint, Director , Hypertext untuk membina perisian latihan dan pelajaran.


Aku cuba beralih kepada Authorware  tapi banyak pulak ciak-miaknya.


Semasa aku biasa dengan Clipper yang menggunakan DOS envirolment, tetiba komputer diserang oleh Windows envirolment.  Entah  macam aku jadi ketingalan pulak.  Sebenarnya di pasar-pasar raya, masih lagi  menggunakan database yang berunsurkan  Clipper. Ada seorang pensyarah  tu kata, kekalkan sahaja kemahiran dalam Clipper . Tapi aku  telah buat keputusan untuk buangkan saja source code Clipper  tu dari dalam kepal aku.


Begitu nasib kita apabila  teknologi komputer cepat berubah. Bagai rak kita mengingat dan menghafal source code, tetiba berhenti begitu sahaja.


Aku rasa Abangmok  amat maklum tenrasa perkara ini kerana  dia  gunakan Visual Basic dulu.  Sekarang Abangmok beralih kepada Dreamviewer  dan Flash dana entah apa-apa lagi.


Akun terfikir , bilakah agaknya Microsoft ini hendak  'lumpuh' sebagaimana nasib IBM  , Netscape , Oracle dan lain-lain.


 

Delete entry

Macam mana aku boleh terdelete aku punya entry nih...

Teks ucapan sambutan Hari Guru 25 Mei 2005

Bismillah hirrahman nirrahim , Assalammualaikum warahmatullah hiwabarakatuh.


 


Yang dihormati tuan Guru Besar, guru-guru dan semua murid yang disayangi.


 


Sempena  menyambut hari guru  pada hari ini,  saya telah diberi peluang untuk berucap sedikit di hadapan semua  murid dan guru. Kita semua sedia maklum , semua sekolah mengadakan sambutan hari guru. Begitu juga dengan sekolah kita.


 


"Sesungguhnya tanggal 16 Mei  amat penting dan sangat bermakna kerana kita semua mempunyai guru yang telah banyak berjasa kepada kita. Inilah waktu terbaik untuk kita luahkan setinggi-tinggi rasa terima kasih, penghargaan dan penghormatan terhadap mereka yang telah banyak berbudi kepada agama, bangsa dan juga negara


 


Pada kesempatan ini,  saya ingin mengingatkan  diri saya  dan semua guru , supaya   terus memberikan kerjasama , didikan dan  tunjuk ajar kepada murid-murid kita  dan kepada sekolah.Anggaplah  murid-murid ini sebagai anak-anak kita sendiri.


 


Sebelum mengakhiri ucapan pada harimini, dengarlah sajak dari  saya  untuk semua  guru  dan murid-murid  tersayang.


 


GURU OH GURU


Dialah pemberi paling setia


Tiap akar ilmu miliknya


Pelita dan lampu segala


Untuk manusia sebelum manjadi dewasa.


 


Dialah ibu dialah bapa juga sahabat


Alur kesetiaan mengalirkan nasihat


Pemimpin yang ditauliahkan segala umat


Seribu tahun katanya menjadi hikmat.


 


Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa


Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta


Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara


Jika hari ini seorang ulama yang mulia


Jika hari ini seorang peguam menang bicara


Jika hari ini seorang penulis terkemuka


Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;


Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa


Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.


 


Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya


Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota


Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu


Dia adalah guru mewakili seribu buku;


Semakin terpencil duduknya di ceruk desa


Semakin bererti tugasnya kepada negara.


 


Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku


Budi yang diapungkan di dulang ilmu


Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat


Menjadi kenangan ke akhir hayat.


 

Sekianlah sahaja, wabillahi taufik wal hidayah wassalamualaikum warah matullah hiwabarakatuh.

Jangan cakap sebarang

Petrol dan diesel naik harga 10 sen secara mengejut tanpa war-war sebelumnya. Kenaikan ini di tengah-tengah heboh diesel tak cukup di pasaran. Semasa aku balik ke kampung, stesen minyak diesel di sana meletakkan iklan hanya boleh beli 20.00 diesel sahaja.

Nasib baik kereta aku tak gunakan diesel. Hari itu aku hendak balik semula ke Kuala Lumpur, beli RM50.00 petrol , full tank. Kalau setakat RM20.00, baru sampai dekat Hentian Rehat dan Rawat Tapah sahaja.

Banyak negara, jika harga minyak naik, rakyatnya akan demonstrasi . Contoh terdekat ialah penduduk di Indonesia. Setakat ini rakyat Malaysia tidak sampai ke tahap itu . Maknanya masih boleh terima dan serap kenaikan harga minyak tersebut.

Aku sebagai guru, cakapnya ada yang dengar. Oleh itu tak boleh menghasut . Orang dengar , percaya dan mungkin lakukan.

Pengalaman aku semasa peristiwa Jalan Kebun dahulu, aku cakaplah kat budak-budak kampung tentang mencari pengalaman. Pergilah sekali untuk mencari pengalaman. Pengalaman ini hanya diperolehi sekali sahaja seumur hidup.

Bukan selalu dapat tempuh peristiwa-peristiwa begini. Semua ini perlu dialami, sekalipun cukuplah . Kelak nanti ia akan menjadi peristiwa manis untuk diceritakan semasa hari tua. Waktu muda belia carilah pengalaman. Tak semua yang baik-baik belaka.

Janganlah cari pengalaman yang membinasakan. Contohnya mencuri ....

Malaysia ini selalunya aman sahaja. Cuba sekali lihat bagaimana suasana menyertai demonstrasi-demonstrasi itu, aku mengacum.

Aku sendiri tak boleh mencari pengalaman di sana walaupun aku teringin sangat melihat-lihat dari jauh. Begitulah takutnya aku sebagai seorang guru . Banyak gambar tersiar dalam surat khabar mencari orang itu dan ini yang berkaitan dengan demonstrasi di Dataran Merdeka.

Aku rasa , dua -tiga tahun tersebut ( 1997 - 1999 ) , Malaysia cukup 'hidup'. Surat khabar cukup laku. Bahan-bahan melalui internet cukup banyak.

Rupa-rupanya mereka mereka 'dengar' cakap aku. Lantas ada 'terlokap' di Balai Polis Shah Alam. Mereka mencangkung ramai-ramai dalam lokap untuk mencari pengalaman.

Ada yang berbaling-baling bom asap dengan FRU. Seorang sepupu aku , gambarnya diulangtayang dalam televisyen beberapa kali kerana demonstrasi puak dia.

Hebat juga aku !.

Sejak itu aku tak berani hendak cakap sebarang . Aku sedap-sedap duduk di rumah sedangkan mereka ada yang disoal siasat di lokap.

Tapi .... pengalaman itu mengajar kita semua.


Aku berpegang teguh kepada Hemingway, dia sanggup masuk ke dalam rumah yang terbakar hangus untuk mencari pengalaman dan seterusnya menulis cerpen.

Kau sanggup macam Hemingway tu.

Pendidikan Islam 'dipetangkan'

Kerajaan Malaysia bersungguh-sungguh mahu melaksanakan pembangunan Islam Hadhari di Malaysia.

Tapi menteri kabinet tidak selaras dengan Islam Hadhari. Lim Keng Yaik selaku menteri kanan pula mencadangkan Pendidikan Islam dikeluarkan dari arus pendidikan negara. Baginya subjek Pendidikan Islam ini, tidak selaras dengan matlamat untuk mencapai kemajuan dan perpaduan nasional.

Keluarkan dahulu subjek Pendidikan Islam dari sekolah kebangsaan, barulah kami orang-orang Cina mahu menghantar anak-anak kami ke sekolah kebangsaan. Pendidikan Islam menjadi duri dalam daging kepada perpaduan dan pendidikan negara.

Inilah dia Islam yang tidak difahami. Bukan sahaja Islam tidak difahami oleh Bush di Amerika tapi juga oleh kesemua orang bukan Islam di Malaysia.

Dalam hal ini , Islam menjadi penghalang kepada kemasukan murid Cina dan murid India ke sekolah-sekolah kebangsaan. Masing-masing sayangkan budaya dan agama masing-masing. Salahkah orang sayangkan budaya , bahasa dan agama mereka. Salahkah orang India sayangkan budaya , bahasa dan agama mereka ?. Tentulah kita berkata tidak .

Dalam persoalan yang sama, salahkah orang Melayu sayangkan budaya, bahasa dan agama Islamnya ?. Tentulah juga tidak . Malahan kerajaan yang ditunjangi orang Melayu mahu semua itu dipertahankan dan diperkembangkan.

Inilah liku-liku sembilu dalam masyarakat majmuk di Malaysia.

Jika saranan ini diterima dan subjek Pendidikan Islam diajarkan di sebelah sesi petang, bagaimana ?. Cukupkah bangunan dan guru untuk mengendalikan sesi petang yang khusus untuk orang Melayu belajar Pendidikan Islam.

Setakat ini Pendidikan Islam dan subjek yang berkaitan dengan Islam cukup diminati. Aku dahulu juga hampir masuk ke Sekolah Menengah Agama Izzudin Shah, Ipoh. Sekarang sekolah menengah agama berkembang dan menjadi tempat pelajar terpilih dan bijak-bijak. Seterusnya mereka boleh menyambung pengajian di UIA, KUIM, KUIS , di Jordan, Mesir dan Madinah . Malahan ada yang tersasar ( ? ) hingga ke Afghanistan, Pakistan dan Afrika Selatan.

Malangnya, sekembalinya dari universiti atau kolej ini, mereka tidak mendapat pekerjaan yang sesuai dan setaraf dengan kelayakan. Jurusan agama dikatakan tak sesuai untuk bekerja di kilang-kilang. Mereka tidak diasuh untuk bekerja sendiri atau berniaga. Harapan penuh mereka ialah bekerja dengan kerajaan sebagai ustaz, pegawai agama, imam , bilal dan sebagainya.

Sesungguhnya cadangan ini bagaikan backlash kepada Islam Hadhari. Idea Abdullah Ahmad Badawi bagaikan ditempelak dan diperlekehkan. Tapi cadangan itu bukan cadangan Lim Keng Yaik seorang . Tapi ia adalah pandangan parti Gerakan, malahan mungkin pandangan keseluruhan masyarakat bukan Islam di Malaysia.

Islam telah disalahertikan. Islam tidak difahami. Orang Islam tidak mengerti. Bukan Islam apatah lagi.

Bukan Islam tidak mahu acara bacaan doa dalam setiap kali perhimpunan. Azan berkumandang hanya membingitkan telinga. Semasa Pendidikan Islam , pelajar Islam mengikuti subjek Pendidikan Islam. Untuk mengisi waktu senggang tersebut, diwujudkan Pendidikan Moral . Pada peringkat PMR , Pendidikan Moral tidak dimasukkan dalam peperiksaan. Pendidikan Moral hanya dimasukkan dalam peperiksaan SPM.

Ramai pulak pelajar Cina dan India yang cemerlang dalam Pendidikan Moral. Sementara pelajar Melayu kantoi dalam Pendidikan Islam. Lantas mereka menyalahkan soalan Pendidikan Moral terlalu mudah dan pelajar Melayu turut mahu mengambil subjek Pendidikan Moral.

Kajian mendapati Pendidikan Moral amat relevan untuk pembangunan insan dan boleh membentuk warganegara Malaysia yang baik. Lantas, Pendidikan Moral 'dirungkai semula' dan jadilah Pendidikan Siviks yang diajar mulai Tingkatan 1 tahun 2005.

Dr Mahathir menyalahkan Menteri Pelajaran lalu ( Tun Abdul Rahman Yaakob ? ) yang menukarkan sekolah aliran Inggeris kepada sekolah kebangsaan . Jadi semua pelajar Cina dari sekolah Inggeris ini 'lari' ke sekolah Cina mereka.

Matlamat pendidikan untuk perpaduan tidak tercapai. Mutu pelajaran juga dikatakan tidak mencapai 'aras global' . Itulah sebabnya Sains dan Matematik kembali diajar di dalam bahasa Inggeris.

Projek Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa kebangsaan tersadai dan terbarai. Orang Melayu berkorban lagi demi pembangunan negara. Sekarang orang Melayu dituntut mengorbankan Pendidikan Islam .

Pendidikan Islam harus dikeluarkan dari arus pendidikan negara . Pendidikan Islam tidak sepenting mana. Bukan Islam tidak belajar Pendidikan Islampun, tapi masih menjadi warganegara Malaysia yang baik. Malahan mereka cemerlang dalam banyak perkara.

Sebaliknya pelajar Melayu yang 'berdegar-degar' belajar Pendidikan Islam , ramai yang menjadi penagih dadah dan merogol anak sendiri.

Mana ahli fikir kita. Mana cendikiawan , budayawan, agamawan dan bahasawan kita ?. Sistem pendidikan tidak harus jadi caca-merba dan projek adhoc sahaja.

Tatkala 3M menekankan tidak ada streaming , tapi sekolah Cina masih mengamalkan streaming . Akhirnya sekolah kebangsaan turut mengambilkan streaming.

Tatkala sekolah kebangsaan melaksanakan Sains dan Matematik diajar di dalam bahasa Inggeris, sebaliknya di sekolah Cina, Sains dan Matematim diajar dalam bahasa ibonda juga.

Kita tidak boleh mengharapkan setelah Pendidikan Islam 'dipetangkan' , pelajar Cina dan India akan berduyun-duyun ke sekolah kebangsaan. Tidak mungkin, itu satu utopia belaka.

Inilah menantu emak 5

Hari Sabtu lepas ( 30 April 2005 ) aku dan keluargaku akhirnya balik juga ke kampung.

Aku memang teragak-agak hendak beritahu dia tentang hajatku itu. Pada mulanya semua dirancangkan bagaikan ok sahaja .

Tapi kemudian ......... isteriku jadi guru pengiring dalam Pertandingan Amal Islami . Anak lelakiku ada aktiviti koko . Aku sendiri ada koko. Anak perempuan aku ada Sukaneka di sekolahnya.

Alamak !!!!! macam mana nak balik awal ke kampung ini. Kan ke majlis perkahwinan Ita akan dilangsungkan pada hari Sabtu. Aku semakin gabra.

Aku ke sekolah kerana ada aktiviti ko kurikulum pada hari Sabtu itu. Ada PBSMM dan aku buat demo bagaimana memasang khemah, peraturan , tapak yang sesuai dan pengalaman masa lalu .Cerita tentang bekas pelajar sekolah ini yang meninggal dunia di dalam khemah di puncak Gunung Korbu, Perak 1998 . Lepas itu aku serahkan kepada guru pelatih Azrul - untuk menyambung celotehnya.

Beberapa orang pelajar telah mengambil bahagian mendirikan khemah dan melipat semula khemah iglu tersebut. Terkial-kial mereka memasangkan khemah. Aku tunjukkan sedikit cara-cara memasang khemah , barulah mereka memahaminya dan dapat melakukannya.

Cikgu Sahak yang tersenyum aku demo cara-cara memasang khemah. Dia tak sangka khemah sekolah itu masih elok lagi walaupun telah berusia 5 tahun. Setahu aku ada 20 buah khemah di sekolah ini. Tersimpan dalam bilik sukan.

Selepas aktiviti koko aku sms semula isteriku. " Ita kahwin hari esok Ahad. Lepas pertandingan , petang , kita baliklah. "

"Tak balik tak pe ke ? " jawapan balas yang aku terima itu telah aku duga. Jawapan sebegini yang aku tak berapa gemar. Aku sudah cukup lama memikirkan bagaimana hendak memujuk isteri aku balik ke kampung. Dalam seminggu dua sebelum balik ke kampung, jangan berkasar, jangan bermasam muka dengan dia. Jangan cari pasal dengan dia. Muka mesti senyum selalu. Walau apa-apa yang berlaku, buat tak tahu , tak nampak sahaja. Jangan tegur. Pendek kata, lebih baik aku tak bersuara daripada bercakap.

Aku faham sangat. Jika tidak .... ia akan berpanjangan dan akhirnya aku yang merana. Silap hari bulan aku yang balik ke kampung sorang-sorang.

"Malulah balik sorang . Macam tak ada anak bini je. Orang lain ada anak bini . Dia orang tanya nanti. Nak tipu apa lagi...... " Aku sms balik.

Sebenarnya telah beberapa kali aku menipu apabila isteriku tak balik. Aku kata ada hal sekolahlah, ada kenduri di sanalah, ada kerja lainlah dan entah apa-apa lagi. Kekadang rasa bersalah pulak menipu walaupun isteri aku tak suruh menipu macam tu. Aku sendiri yang pandai-pandai menipu macam tu.

Kekadang hendak sahaja aku berterus-terang "Dia tak nak balik ke kampung ini. Banyak nyamuk, pacat, hutan banat agaknya " . Tapi aku belum sampai hati cakap setulus itu.

"Jom lah balik . Ita kahwin esok , Ahad"

"Oklah, tapi petang sikit ." aku baca sms itu berulang-ulang kali.

Aku sedap hati kerana aku akhirnya berjaya memujuk isteriku dengan sms. Kalau berdepan aku memujuk, lagilah menghiris hati nurani ini. akan berlaku soal jawab, dakwa dakwi, macam kerajaan dengan pembangkang sahaja.

"Bagus juga ada handphon ni". bisik hatiku di dalam hati.

Aku tidak berapa pasti 'petang' tu pukul berapa ?. Aku akan tunggu dan sabar. Tunggu dia kemaskan semua kerja rumah . Aku tak mahu tanya.

"Balik sorang tak mahu .... "

Aku terdengar dia mendengus. "Apa ... ? " Aku tanya balik, seolah-olah aku tak dengar omelannya tadi.

Namun aku lega, akhirnya 5.30 petang kami bertolak juga ke hilir Sungai Perak.